Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengidamkan sebuah perkahwinan yang kekal bahagia selamanya.

Namun, jangan disangka panas hingga ke petang kerana tidak semua perkahwinan itu berjaya dipertahankan.

Tahun 2017, menyaksikan ramai selebriti yang menghadapi keretakan rumah tangga dan akhirnya mengambil keputusan untuk bercerai.

Berikut Astro Gempak senaraikan selebriti yang bercerai pada tahun ini:

1. Mimi Fly & Mohd Firdaus


Setelah sekian lama membiarkan status rumah tangganya menjadi teka-teki, anggota kumpulan One Nation Emcees, Mimi Fly mengesahkan perkahwinannya dengan Mohd Firdaus Hajar sudah berakhir, baru-baru ini.

Tidak memberitahu bila tarikh perkahwinannya berakhir, Mimi hanya mengesahkan perceraian itu berlaku dalam bulan ini sahaja.

Spekulasi keretakan rumah tangga Mimi dan Mohd Firdaus tercetus apabila penyanyi itu tidak lagi memuat naik gambar berdua, selain memadam semua foto bersama yang pernah dikongsi di laman sosial.

[BACA: Selepas Tiga Tahun Bersama, Mimi Fly Sah Bercerai Dengan Suami]


2. Hafiz Hamidun & Joy Revfa


Perkahwinan penyanyi Hafiz Hamidun dan pengasas kosmetik, Joy Revfa hanya bertahan beberapa bulan sahaja.

Selepas pelbagai konflik dan kontroversi yang berlaku dalam rumah tangga mereka, akhirnya Hafiz melafazkan cerai talak satu pada 25 Oktober lalu.

Hakim syarie mengesahkan talak tersebut sebagai talak Ba-in Sughra dan Joy tidak perlu menjalani edah kerana pasangan itu tidak pernah melakukan hubungan kelamin.

Terdahulu, Hafiz mendakwa perkahwinan mereka tidak sah selepas dia tidak dapat pengesahan perceraian Joy dengan suami terdahulu.

[BACA: Hafiz Hamidun & Joy Revfa Sah Cerai Talak Satu]


3. Ezlynn & Adam Fahmy



Selepas memfailkan permohonan cerai pada 7 April lalu, penyanyi Hi Hi Bye Bye, Ezlynn dan Adam Fahmy akhirnya disahkan bercerai dengan talak satu pada 23 Oktober 2017.

Antara alasan permohonan cerai itu termasuk tiada lagi persefahaman dan kasih sayang dalam rumah tangga yang dibina pada 20 November 2011.

[BACA: Kami Tak Sefahaman Tapi Masih Sebumbung - Ezlynn]



4. Erma Fatima & Bade Hj Azmi


Siapa sangka, selepas 26 tahun mendirikan rumah tangga pengarah terkenal Bade Hj Azmi melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya pengarah dan pelakon Erma Fatima pada 17 Ogos lalu.

Mereka mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 24, Ahmad Arir, 22, Ahmad Aifin, 20, Citra, 15, dan Nurain, 11.

Bade bagaimanapun mempunyai seorang isteri lagi bernama Aida yang dikahwininya pada tahun 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

Namun pada tahun 2015, Erma pernah memfailkan perceraian namun menarik balik permohonan tersebut selepas kedua-duanya mengaku masih saling sayang menyayangi.

[BACA: Erma Fatima, Bade Sah Cerai Talak Satu]



5. Serina Redzuwan & Gavin Edward O'luanaigh


Selepas dua tahun tinggal berasingan, pelakon Serina Redzuawan, 34, akhirnya sah bercerai talak satu dengan warga Britian Gavin Edward O'luanaigh pada 1 Ogos 2017.

Serina memfailkan permohonan bercerai mengikut Seksyen 47, Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 pada 6 Disember 2016.

Pasangan yang berkahwin pada 1 Januari 2010 ini dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef O’luanaigh, 6 dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5 tahun.

Terdahulu, Chef Wan mendakwa anaknya itu bekerja keras untuk menyara keluarga dan tidak mendapat hak sepatutnya dari suami.

[BACA: Semuanya Musnah Apabila Serina Keluar Dari Rumah - Gavin Edward O'Luanaigh]


6. Fatin Afeefa & Adam Shah

Setelah berdolak dalih apabila ditanya mengenai keretakan rumah tangga mereka, akhirnya pelakon Adam Syah dan Fatin Afeefa mengaku sudah bercerai talak satu pada 30 Mei 2017.

Nafi perceraian mereka disebabkan orang ketiga, Adam sebaliknya mengaku ada pihak yang kurang senang melihat kebahagiaan mereka.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin atau Fatin Nur Afifah Shamsudin, 22, pada 21 Disember 2013.

[BACA: “Gila Ke Saya Nak Buat Benda Begitu Kemudian Post Di Instagram?” – Fatin Afeefa]



7. Adi Putra & Dua Isterinya, Aida dan Norshahida


Selepas pelbagai kontroversi dan spekulasi yang berlaku dalam rumah tangganya, aktor Adi Putra mengesahkan dia tidak lagi mempunyai hubungan dengan dua isterinya itu.

Kenyataan Adi itu dibuat kepada pihak media menerusi laman Instagram (IG) peribadi miliknya pada 23 Mac 2017.

Dalam kenyataan itu, dia memberitahu sudah berpisah dengan kedua-dua isterinya iaitu Aida dan Norshahida selepas mengaku tiada mempunyai apa-apa hubungan dengan mereka.

Terdahulu Adi dilaporkan memfailkan perceraiannya terhadap Aida atau nama sebenarnya Zuhaidah Yusof, 42, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Mereka berkahwin pada 14 April 2006 dan tidak dikurnaiakan cahaya mata sebaliknya mempunyai seorang anak angkat Zara Adelia yang kini berusia lima tahun.

Adi kemudiannya berpoligami selepas menikahi Norshahida Dzolkifly, 33, pada 20 Jun 2016.

[BACA: Adi Putra Tidak Hadir, Kes Sebutan Cerai Ditangguh]



Teks oleh: Syafiqah Jalal