Demi Sertai AF 2016, Rahila Pinjam Wang RM7,600

4 Oktober 2016. 3.08 PM
109,225
Hiburan
Demi Sertai AF 2016, Rahila Pinjam Wang RM7,600

Pelajar Akademi Fantasia 2016 (AF 2016) yang berasal dari Singapura, Rahila meminjam wang berjumlah 2,500 SGD (RM7,600) untuk merealisasikan cita-citanya menyertai AF 2016.

“Sebelum ini, saya bekerja di sebuah hospital di Singapura sebagai jururawat. Ketika saya mendapat tawaran menyertai AF 2016, permohonan saya untuk bercuti tanpa gaji tidak diluluskan.

“Saya terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja serta merta. Akhirnya, saya harus membayar pihak hospital sejumlah wang yang bernilai sebulan gaji saya (2,500 SGD) kerana berhenti kerja tanpa notis.

“Saya terpaksa meminjam dahulu wang bapa dan kakak saya dalam mencapai impian saya untuk menyertai AF 2016,” katan Rahila kepada Astro Gempak.

Mengambil pendekatan positif walaupun tersingkir di konsert separuh akhir AF 2016, Rahila mengakui dia rasa bangga dengan diri sendiri.

“Hanya selangkah sahaja lagi untuk sampai ke konsert akhir. Walau tersingkir, saya bangga kerana saya sudah memberikan yang terbaik. Undian tidak menyebelahi saya dan saya percaya lebih banyak rezeki untuk saya di luar sana kelak.

“Saya berbangga kerana saya boleh sampai ke tahap ini. Walaupun saya tidak berpeluang untuk menyampaikan single pertama saya bertajuk Langit Biru ciptaan Hang Nadim dan Laq di konsert akhir, saya akan terus mencari peluang untuk melebarkan bakat saya dalam bidang nyanyian di Malaysia dan Singapura,” katanya lagi.

Saksikan Konsert AF 2016 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Manakala rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi pula boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.

Untuk mengikuti perkembangan pelajar, layari Akademi Fantasia.


Artikel Berkaitan


Komen