Vokalis Sakura Band mendedahkan pihak berkuasa telah menahan dua suspek kes pecah masuk studio rakaman dan mencuri barangan peribadi anggota kumpulan itu yang mencecah kerugian RM60,000.

Kata Mell atau nama sebenarnya Melley Matius, 29, dia sedih dengan insiden yang berlaku pada awal Disember lalu dan berharap agar isi kandungan demo lagu album terbaharu kumpulan itu tidak disabotaj.

"Saya kesal dengan kejadian yang berlaku namun seperkara yang paling merisaukan saya adalah isi kandungan laptop itu yang menyimpan kesemua 12 buah demo lagu untuk album terbaharu Sakura Band tahun depan.

"Memang harapan untuk mendapatkan semula barangan yang telah hilang termasuk empat buah telefon bimbit sangat tipis.

"Namun, saya berharap hasil kerja kami tidak dieksploitasi untuk tujuan tidak elok. Kami reda dengan kejadian yang berlaku," katanya yang perlu merakamkan semula kesemua lagu yang telah lesap bermula awal tahun depan.

Kejadian pecah masuk studio rakaman yang terletak di Bandar Puteri, Puchong, Selangor itu disedari oleh gitaris utama Sakura Band, Ali Ezzati Musavi dan dua rakannya yang tidur di studio berkenaan.

Suspek diberkas menerusi rakaman kamera litar tertutup yang diserahkan kepada pihak berkuasa.

Sakura Band bakal merakamkan semula semua lagu untuk album baharu yang bakal diterbitkan pada tahun 2018.

"Mahu atau tidak kami terpaksa merakamkan semula lagu-lagu untuk album terbaharu Sakura Band. Proses itu mungkin menelan belanja puluhan ribu ringgit.

"Yang pasti, konsep album Sakura Band akan berbeza daripada yang pernah peminat dengar sebelum ini," tambahnya.

Teks oleh: Amri Hassan