Pelakon Elfira Loy mengakui sedang merasai dugaan sebagai tunangan orang selepas mengikat tali pertunangan dengan penyanyi Sufian Suhaimi.

Menurut Elfira, 23, ujian yang hadir itu bukan berpunca daripada dia ataupun Sufian sebaliknya melalui orang di sekeliling mereka.

"Alhamdulillah hubungan saya dan Sufian tidak ada sebarang masalah tapi biasalah pelbagai dugaan itu pasti ada.

“Bukan daripada kami sebaliknya melalui orang - orang disekeliling kami.

"Tapi saya ambil perkara itu sebagai positif, ini merupakan permulaan buat kami yang ingin mendirikan rumah tangga.

"Saya anggap apa yang berlaku sebagai dugaan dalam pertunangan kami dan secara tidak langsung menguatkan lagi hubungan antara satu sama lain.

“Bila dah lalui sendiri baru saya percaya bila orang bercakap mengenai soal dugaan alam pertunangan," katanya kepada Astro Gempak.

Elfira berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenal 12 Peserta Tahfiz Muda yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Elfira Loy akan menggalas tugas Pengacara Rehal bersama Iman Muda Asyraf dalam Tahfiz Muda 2017.

Tahfiz Muda 2017 akan diadili sepenuhnya oleh empat orang juri iaitu Ustaz PU Hafiz, Ustaz Don Daniyal sebagai ‘Hakim Munabbih (Hafazan) dan Ustazah Sharifah sebagai ‘Hakim Tilawah & Taranum’ serta Ustaz Zambri sebagai ‘Hakim Tajwid’.

Jangan lupa saksikan Tahfiz Muda pada setiap hari Khamis pukul 9 malam di saluran Astro Oasis (106) dan siaran serentak di Maya HD (135).