Pengasas produk penyelidikan ByDrAzlan, Datuk Prof. Dr. Norazlanshah Hazali tampil menjelaskan tuduhan penyanyi rock legenda, Amy Search yang mendakwa ditipu dan dieksploitasi dengan menyiarkan gambarnya bersama produk tanpa kebenaran.

Baca: Amy Search Dedah Produk Cuba Tipu Pengguna Dengan Menggunakan Gambarnya

Jelas Norazlanshah yang diwakili peguam Shahrulazwad Ismail, foto Amy memegang kotak produk makanan tambahan Triple-T disiarkan oleh salah seorang agen syarikatnya pada Jumaat lalu.

"Gambar itu hanya dimuatnaik di Facebook agen kami hanya beberapa jam namun dia dihubungi oleh wakil pengurusan Amy memohon agar gambar tersebut dipadamkan.

"Agen kami telah membuat permohonan maaf kepada wakil Amy.

"Tetapi, sehari selepas kejadian tersebut Amy memuat naik sekeping gambar bersama tulisan 'Penipuan' yang akhirnya mengundang kecaman netizen dan memberikan imej buruk kepada syarikat kami.

"Ingin sekali lagi kami tegaskan, gambar itu diperoleh agen kami menerusi orang tengah yang mempunyai akses kepada penyanyi itu dan perkara yang berlaku di luar pengetahuan kami.

"Pihak syarikat tidak terlibat langsung dalam pengambilan gambar dan penggunaan gambar berkenaan.

"Syarikat tidak pernah merancang untuk melantik apatah lagi menipu atau memperdaya Amy bagi tujuan 'endorsement'," katanya pada sidang media khas di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan ByDrAzlan, Datuk Mashita Masri.

Impak daripada penularan gambar tersebut berserta kapsyen Amy, Shahrulazwad memberitahu syarikat ByDrAzlan menerima reaksi negatif daripada masyarakat dan menjejaskan reputasi selaku pengeluar produk tersebut.

Sementara itu tambah Norazlanshah, teguran sudah dibuat kepada agen dan wakil pengedar produk yang dikeluarkan oleh syarikatnya dan berharap perkara sedemikian tidak berulang.

"Kami terbuka untuk berjumpa dengan pihak Amy untuk menerangkan perkara tersebut namun seboleh-bolehnya kami tidak mahu panjangkan isu ini dan berharap masyarakat memahami situasi sebenar," katanya.

Amy dalam satu entri Instagram Sabtu lalu mendedahkan dia ditipu oleh sebuah syarikat yang mengeluarkan produk makanan tambahan Triple-T dengan menggunakan gambarnya memegang produk tersebut tanpa kebenatan.

Aku tk endorse ini barang ok. Aku pn tk pernah mkn ini barang dn aku pn tk tau ini apa barang!!! Bkn dorng tk tau tpi buat2 tk tau sbab kite ni humble sngt. Yg bahaya kalau org yg mkn barang ni memudaratkan dn tentu aku yg kena tuding. Aku harap sblom nk pos ker bertnya lah management jgn main langgar jer. Satu lgi aku kalau org kasi barang2 supplement nih bkn main sumbat jer sbab tk tau side effect masa akn dtg. #Repost @ijammahyuza (@get_repost) ・・・ Ni lah salah satu sebab manager atau PR mengawal peminat2 yg nak bergambar dgn artis. Segelintir pengambil2 kesempatan yg mcm ni la yg memburukkan keadaan. Mintak pegang product lepas tu post utk marketing product tu. Setiap artis ada harga masing2 utk product endorsement, review ataupun sponsor. Bukan main langgar je. Respect hak artis. #naksuruhartispromosilabayar

A post shared by Suhaimi A Rahman (@aku.amysearch) on



Dedah Amy, dia tidak pernah menggunakan produk terbabit mahupun dilantik sebagai duta.

Teks oleh: Amri Hassan