Bekas anggota kumpulan Sleeq, Alif akui akan memastikan dirinya pulang ke Singapura sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk melepaskan rindu terhadap isteri dan anaknya.

Alif atau nama sebenarnya Alif Abdullah, 28, memberitahu tidak mudah tinggal berjauhan dengan isteri, Azzah Fariha dan anak perempuannya, Alana Alif untuk mencari rezeki di Malaysia.

“Memang saya dah buat perancangan untuk membawa keluarga tinggal di sini namun niat itu terpaksa ditangguh atas sebab beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Terus-terang saya kata sukar untuk saya berjauhan dengan keluarga lebih-lebih bila saya dah ada anak. Rasa rindu memang lain macam.

“Sebab itu apabila saya berada di Malaysia, isteri tidak benarkan saya menghubunginya dengan menggunakan ‘face time’.

“Bukan apa, khuatir Alana akan menangis, saya pula tidak sampai hati melihat dia begitu dan buat saya rasa nak balik ke Singapura terus,” katanya.

Alif berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, ‘Buat Selamanya’ bertempat di SukaSucre Bistro baru-baru ini.

Mengulas mengenai Alana, Alif memberitahu anaknya kini sudah berusia 18 bulan dan semakin memahami keadaan yang berlaku di sekelilingnya.

“Memang seronok kalau dapat bertemu keluarga di Singapura, Alana pula apabila nampak saya dia akan terus berlari mendapatkan saya.

“Dia dah mula faham apa yang berlaku disekelilingnya itu yang membuatkan saya berat hati untuk kembali ke Malaysia.

“Saya terpaksa keluar senyap-senyap kalau tidak dia akan menangis dan tidak mahu lepaskan saya.

“Dia sudah tahu kerana saya akan ‘hilang’ dan pulang dalam tempoh waktu yang tertentu,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Alif baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Buat Selamanya.

[[BACA: “IDEA SPONTAN, TIADA KAITAN DENGAN KISAH PERIBADI” - Alif]]

Foto: Instagram @azzahfariha

Teks oleh: Mya Amri