Pelakon filem Dubai My Love, Putri Najuwa mengakui suaminya, Muhammad Zaid Samsuri, 34, seorang lelaki yang tidak cerewet.

Pemilik nama penuh Tengku Putri Najuwa Tengku Yusof, 32, ini gemar memasak untuk memenuhi selera suaminya.

“Alhamdulillah, suami saya seorang yang ringkas dan tidak cerewet. Semenjak kami bercinta lagi. saya gemar memasak untuk Zaid dan menghantar ke kediamannya.

“Selepas berkahwin, saya selalu masak untuk suami dan memenuhi seleranya. Jarak pejabat Zaid dan kediaman kami dekat sahaja, jadi pada waktu makan tengah hari, dia akan balik ke rumah untuk menikmati juadah air tangan saya.

“Begitu juga waktu makan malam. Saya akan turut memasak untuknya. Kecuali jika saya sibuk dan ada urusan lain di luar rumah, dia akan makan sendiri,” kata Najuwa.

Tambah Najuwa, suaminya tidak memilih dan menggemari masakan yang sedikit masam.

“Apa yang saya sediakan, semuanya akan dinikmati suami. Dia tak cerewet dan tak pernah menolak.

“Zaid gemarkan lauk yang rasanya masam-masam seperti asam pedas ikan pari, sambal udang dan sambal sotong. Saya juga gemar mencuba resipi baru untuk sama-sama dinikmati dengan suami,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran aplikasi Cover di Aloft Kuala Lumpur baru-baru ini.

Suami Najuwa bertindak sebagai pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi Cover.

Cover merupakan sebuah aplikasi inovatif berasakan penetapan pelan untuk memperbaiki telefon pintar.

Untuk makluman lanjut, layari www.cover4u.com.my atau lakukan carian dengan kata kunci cover4uMy di laman Facebook dan Instagram.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Najuwa