Pasangan selebriti popular, Jihan Muse dan Ungku Hariz bakal menyambut kelahiran bayi lelaki.

Usia kandungan Jihan kini telah memasuki minggu yang ke-33 dan Jihan dijangka akan melahirkan anak sulungnya pada Januari 2018.

Pengumuman tersebut dilakukan oleh doktor pasangan itu, Dr. Norleen Mohd Sallah menerusi panggilan video secara langsung di Majlis Santai Hi Mommy Jihan! Baby Shower Party yang diadakan di Sanggul Cafe, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Hi Mommy Jihan! merupakan sebuah blog video (vlog) bersiri yang memaparkan klip-klip eksklusif kehidupan harian Jihan dan Hariz sepanjang tempoh kehamilan sulung Jihan sehingga selepas dia bersalin menerusi rakaman yang dilakukan sendiri oleh pasangan ini.

Rakaman vlog yang dibuat sendiri oleh Jihan dan Hariz tanpa sebarang skrip ini bermula sejak kandungan Jihan berusia 31 minggu sehingga selepas Jihan bersalin.

Vlog Hi Mommy Jihan! yang ditaja oleh Anmum Materna dan Thermos ini akan dimuat naik di laman YouTube MeleTOP pada setiap hari Khamis dan Jumaat mulai 7 Disember 2017, jam 9.00 malam.

Manakala, bagi siaran di kaca televisyen, Hi Mommy Jihan! boleh ditonton pada setiap hari Isnin dan Selasa mulai 11 Disember 2017 jam 10.55 malam di Astro Ria (saluran 104) dan siaran serentak di Ria HD (saluran 123).

Vlog istimewa ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan eBu.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Syafiqah Jalal & Instagram @aqoimran