Penyanyi Akim Ahmad akui dia masih menerima tawaran berlakon meskipun sudah lama tidak aktif dalam bidang tersebut.

Pun begitu, Akim berkata dia terpaksa menolak tawaran berlakon kerana belum bersedia untuk menceburi bidang itu kembali selepas menyedari bakatnya dalam lakonan perlu digilap semula.

"Saya akui sehingga kini masih menerima tawaran berlakon meskipun saya sudah lama tidak aktif dalam bidang tersebut

"Namun saya terpaksa menolaknya kerana saya rasa saya tidak cukup bagus untuk berlakon dan perlu banyak latihan sebelum kembali berlakon.

"Lagipun untuk bergiat aktif dalam bidang lakonan, ia perlu komitmen yang tinggi juga dan masa saya agak terbatas.

"Sekarang pun, saya sedang aktif dalam bidang nyanyian. Jadi biarlah saya fokus yang satu ini dulu," katanya kepada Astro Gempak.

Apabila ditanya adakah isterinya, Stacy menghalangnya untuknya kembali aktif dalam bidang lakonan, Akim menafikannya.

"Stacy sentiasa memberi sokongan dalam karier seni saya tidak kira apa jua bidang sekali pun.

"Dia tidak pernah membataskan saya untuk mengembangkan bakat saya.

"Stacy tidak pernah menghalang," katanya lagi.

Akim bakal beraksi di Konsert Akim & The Majistrest- Live In Singapore 2017 di Esplanade, Singapura pada 26 Januari 2018.

Teks oleh: Syafiqah Jalal