Iedil Putra bukan pelakon Malaysia pertama yang berkahwin dengan warga Indonesia dan menetap di negara tersebut.

Ashraf Sinclair, Asyraf Khalid dan terbaharu Engku Emran juga antara jejaka yang berjaya menambat hati selebriti Indonesia.

Begitu juga Iedil yang telah mendirikan rumah tangga dengan pelakon cantik Prisia Nasution pada Februari tahun lalu.

Namun, yang mengundang pertanyaan apakah sebabnya Iedil lebih kerap dan selesa berbicara dalam slanga bahasa Indonesia ketika ditemubual baru-baru ini.

"Mungkin kedengaran cara percakapan saya seperti bahasa Indonesia kerana saya sedang membiasakan diri untuk asimilasi dengan kehidupan dan budaya di Indonesia.

"Lagipun, di rumah, kami tidak bercakap bahasa Malaysia atau Inggeris sebaliknya lebih banyak berkomunikasi dalam bahasa Indonesia.

"Malah, beberapa minggu lalu saya baru selesai pementasan teater Kepada Gema di Gedung Graha Bhakti Budaya, jadi masih terbawa-bawa dengan teknik percakapan bahasa Indonesia," jelasnya kepada Astro Gempak.

Iedil juga menjelaskan slanga percakapannya yang semakin mirip bahasa Indonesia juga berpunca daripada percakapan hariannya di sana.

Pelakon yang berulang-alik ke Kuala Lumpur itu kini dalam proses latihan Teater Muzikal ola Bola yang bakal dipentaskan pada Februari depan.

Dalam perkembangan lain, Iedil bakal muncul dengan tiga buah filem terbaharu tahun hadapan antaranya Mak dan One Two Jaga.

Malah, pelakon itu juga bakal muncul dalam drama bersiri enam episod, Mandatori, bergandingan dengan Aeril Zafrel dan Siti Saleha.

Drama bersiri crime thriller itu merupakan adaptasi novel terkenal Ramlee Awang Murshid dan bakal disiarkan di Astro First Eksklusif (480) mulai 14 Disember depan.

Dengan hanya RM19.10, penonton boleh menikmati kesemua enam episod dengan berulang kali dalam tempoh lima hari dari waktu pembelian.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Mandatori boleh didapati menerusi platform digial On Demand.

Teks oleh: Amri Hassan