Pelakon filem Busker, Daiyan Trisha mengakui dia dan Hafezz Mikail tidak bercinta tetapi sering menghabiskan masa bersama.

Daiyan berkata, dia masih belum mempunyai kekasih dan tidak mahu mencari publisiti murahan apabila dikatakan sengaja mencipta gosip cinta untuk melariskan filem Busker.

"Kami memang sering menghabiskan masa bersama namun semua itu dilakukan atas dasar tuntutan kerja dan menjayakan watak dalam filem.

"Buat masa sekarang saya masih solo dan mahu memberi fokus kepada kerjaya kerana sebelum ini sibuk menghabiskan pelajaran di peringkat sarjana muda.

"Saya juga tidak berani untuk meramal masa depan namun jika pada masa depan kami ditakdirkan bercinta itu tidak menjadi kesalahan kerana kedua-dua masih solo.

"Namun buat masa sekarang kami ingin memberi tumpuan kepada promosi dahulu dan saya tidak mahu sengaja mencipta kontroversi untuk melariskan filem ini dengan cara yang salah," katanya kepada AStro Gempak.

Daiyan ditemui pada majlis Pelancaran Filem Busker, di Bentley Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Daiyan, filem Busker turut dibintangi oleh Hafeez Mikail, Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini bakal ditayangkan dipawagam bermula 11 Januari 2018.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi