Memulakan karier sebagai pelakon, Janna Nick turut berjinak menceburkan diri dalam bidang nyanyian.

Menerusi single perdana yang berjudul Mungkin Saja yang dilancarkan pada tahun lalu, kemampuan Janna untuk menyanyi secara 'live' dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

Kini, Janna muncul dengan single terbaru berjudul Akan Bercinta. Ketika pelancaran lagu tersebut baru-baru ini, Janna kelihatan lebih yakin untuk menyanyikan lagu tersebut secara 'live'.

"Saya semakin selesa dengan gelaran penyanyi. Saya rasa lebih yakin kerana saya kini sudah mula bertatih. Jika dulu, saya ibaratkan diri saya masih 'merangkak' dalam bidang nyanyian.

"Saya bermula dengan bidang lakonan dan saya mahu belajar lebih banyak dalam bidang nyanyian. Perlahan-lahan saya belajar untuk menjadi seorang penyanyi yang baik dan memperbaiki segala kekurangan," kata Janna.

Turut melancarkan muzik video lagu tersebut, Janna turut menceritakan pengalaman duduk di kerusi pengarah.

"Muzik video lagu Akan Bercinta merupakan hasil arahan saya. Sebenarnya, saya rasakan perkara tersebut lebih kepada proses pembelajaran.

"Saya mahu belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai ilmu pengarahan dan selok belok dalam mengendalikan satu produksi," katanya lagi.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza ini menjadi lagu tema untuk drama bersiri My Coffee Prince.

Jangan lupa saksikan My Coffee Prince, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Janna