Vokalis kumpulan Wings, Awie mengakui sebagai seorang selebriti dia harus menunjukkan sikap yang baik kepada generasi muda.

Awie atau Datuk Ahmad Azhar Othman, 49, berkata, dia risau jika kesilapan yang dilakukan sekarang akan mendapat pelbagai kritikan daripada orang ramai kelak.

"Sebagai seorang selebriti yang sudah berusia ini saya harus menunjukkan sikap yang baik kepada generasi muda supaya dapat menjadi ikutan di kemudian hari.

"Dulu mungkin saya banyak melakukan pelbagai kesilapan namun daripada apa yang terjadi dulu banyak memberi kesedaran kepada saya.

"Bagi saya biarlah suatu hari nanti saya pergi dengan cerita yang elok untuk diceritakan kepada orang ramai.

"Jangan sampai nanti apabila kita mati dalam kubur orang akan mengata," katanya kepada Astro Gempak.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran Hantu Kak Limah, di Taiping, baru-baru ini.

Selepas tujuh tahun, kesinambungan Hantu Kak Limah akan kembali menemui penonton pada tahun hadapan hasil usahasama Infinitus Productions dengan Astro Shaw.

Turut berlakon dalam filem ini ialah Zul Ariffin, Uqasha Senrose, dan Erra Fazira.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi