Finalis Akademi Fantasia 2016 (AF 2016), Reshma atau nama sebenarnya Kareshma Martin John Patrick, 18, berterima kasih kepada semua pihak kerana menilai dirinya menerusi bakat.

"Saya sangat berterima kasih kerana pengundi terus memberi sokongan dan tidak menilai saya menerusi bangsa dan umur.

"Pada awalnya, saya rasa takut dan pernah terfikir, sebagai seorang yang mempunyai tahap penguasaan Bahasa Melayu yang sederhana, mampukah saya bertahan dalam program realiti yang popular di kalangan orang Melayu? Saya juga merupakan peserta yang paling muda berbanding rakan-rakan yang lain.

"Saya turut berterima kasih kerana semua pihak telah menilai saya menerusi bakat yang saya tonjolkan saban minggu sehingga saya berjaya sampai ke konsert akhir AF 2016," kata Reshma kepada Astro Gempak.

Walaupun sekadar memenangi tempat ketiga AF 2016, Reshma berharap dia telah memberikan impak yang besar kepada semua penonton dan penyokong.

"Saya berharap agar kehadiran saya disedari dan persembahan saya setiap minggu dapat meninggalkan impak tersendiri walaupun saya tidak memenangi AF 2016.

"Saya masih muda dan banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Saya mahu menjadi seorang penyanyi dan komposer yang berjaya. Saya mahu meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Melayu dan berjanji untuk memberikan yang terbaik kepada semua yang tidak putus-putus menyokong saya.

Konsert Akhir AF 2016 yang dihoskan oleh Zizan Razak dan Alif Satar bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) jam 9.00 malam.