Pelakon Rita Rudaini mempertahankan tindakan rakan baiknya Izreen Azminda memilih untuk menjadi isteri kedua.

Menurut Rita, dia tidak terlibat dengan keputusan diambil Izreen, malah pernah menasihati rakannya itu agar tidak menjadi perampas hak orang.

“Tolong jangan terus menyerang saya di laman sosial kerana perkahwinan dia.

"Saya tidak masuk campur dalam keputusan Izreen yang memilih jalan untuk berkahwin dengan suami orang.

"Saya pun ada beri nasihat, jangan merampas hak orang lain. Tetapi dalam keadaan sekarang Izreen bermadu, dia tidak merampas suami orang.

"Jika dia dapat menjalani tanggungjawab sebagai isteri dengan baik, kita sendiri tidak perlulah mengutuk atau menghamun beliau kerana itu adalah jodoh yang telah tersurat buat dirinya,” katanya.

Izreen sebelum ini memaklumkan telah bernikah secara sah dengan Mohammad Radzi Abdul Wahid, atau mesra disapa Ude, pada 8 Ogos lalu.

Tindakan Izreen itu bagaimanapun turut menjadi tempias kepada rakan karibnya kerana dianggap sebagai ‘penyokong’ tegar dalam keputusan dibuat Izreen.

Sementara itu, Rita turut sempat menasihati Izreen agar sentiasa bertanggungjawab menjalani tugas sebagai isteri kedua dan sentiasa cuba untuk menjaga hati isteri pertama Ude.

Sumber: Astro Awani