Pelakon Syafie Naswip mengakui wajah dan saiz fizikalnya menjadi punca sering mendapat watak yang sama dalam lakonan.

Menurut Shafie, 25, sebagai seorang pelakon dia tidak pernah memilih watak dan menggangap saiz badan serta wajahnya turut memberi kelebihan kepadanya suatu hari nanti.

"Saya tak nafikan bentuk saiz badan dan wajah merupakan sebab saya sering mendapat watak remaja sahaja dalam setiap tawaran lakonan.

"Mungkin ada ramai pelakon yang sebaya dengan saya sudah diberi peluang untuk membawakan watak seorang bapa, sedangkan saya masih dengan karakter remaja.

"Namun perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk berkarya kerana apa yang penting lakonan saya dapat memberi kesan kepada penonton.

"Bagi saya biarlah masa yang menentukan kerana mungkin apabila sudah memasuki usia 30 tahun nanti watak itu sesuai untuk saya pula," katanya kepada Astro Gempak.

Syafie Naswip berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Jibam, di MM Cineplex ecurve, Damansara, baru-baru ini.

Filem Jibam adalah karya arahan Che Mie dan merupakan filem yang diadaptasi daripada novel popular 90-an hasil tulisan kartunis Ibrahim Anon atau Ujang.

Selain Syafie Naswip, filem ini turut dibintangi oleh Ariff, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Jibam pada 7 Disember ini di seluruh pawagan yang berada di tempat anda.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi