Penyanyi Intan Sarafina mengambil kelas vokal sebagai persediaannya untuk bertanding di program GegarVaganza 3 (GV3).

Intan atau nama sebenarnya Intan Sarafina Ungku Yahya, 35, berkata dia perlu mengasah kembali vokalnya setelah lapan tahun tidak aktif menyanyi.

“Saya tahu persaingan memang sangat sengit di GV3, lihat sajalah para pesertanya semua hebat-hebat belaka.

“Sebagai persediaan, saya banyak kena dengar lagu-lagu orang lain sebab dalam program ini kita perlu menyanyikan pelbagai jenis genre lagu dan saya kena biasakan diri lagu-lagu tersebut.

“Selain itu, saya juga mengambil kelas vokal untuk mengasah kembali suara dan saya pun dah lama tak menyanyi.

“Lapan tahun saya menyepi dan itu merupakan tempoh yang agak lama jadi saya rasa banyak benda yang perlu asah dan belajar kembali teknik-teknik vokal yang betul,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Dalam pada itu, Intan juga tidak menafikan perasaan gemuruh untuk kembali menyanyi dipentas semakin terasa.

“Ini merupakan pentas yang besar bagi saya selepas kembali aktif dalam dunia seni dan sudah pastilah rasa gemuruh itu ada.

“Lagi-lagi bila kita tahu ini adalah sebuah pertandingan, mulalah macam-macam perkara kita terfikir.

“Sama ada dari segi persembahan mahupun vokal tapi saya terima ini sebagai cabaran dan akan berikan sehabis baik.

“Suami saya juga banyak memberikan sokongan dan dia juga berasa gembira sebaik saja mendapat tahu saya diterima untuk sertai GV3.

“Dia juga tahu saya dah lama menyimpan hasrat untuk kembali aktif menyanyi dan dia juga banyak memberikan semangat kepada saya,” jelasnya.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Intan memberitahu persiapan untuk mengeluarkan single terbaru berjudul Aku Rindu ciptaan Tam Spider terpaksa dihentikan buat sementara waktu untuk memberi fokus pada GV3.

Jangan lupa saksikan Konsert GegarVaganza 3 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 16 Oktober ini secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad, jam 9.00 malam.