“Mengarut! Kami sedang bahagia”, itu jawapan Yazer Yusof apabila ditanya tentang khabar angin mengenai keretakan rumah tangganya dengan Ekin Rahman.

Tambah Yazer, dia tidak faham mengapa ada individu yang sanggup menanur cerita tidak berasas tersebut.

“Saya sendiri hairan apabila ada orang datang kepada saya mengenai status rumah tangga kami.

“Kami sedang bahagia dan bertambah bahagia dengan kehadiran Muhammad Noah yang sudah pun berusia dua tahun,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Yazer ditemui ketika majlis pelancaran single terbarunya Teruja, di Vilej Damansara pada petang Selasa.

Yazer dan Ekin merupakan peserta Akademi Fantasia 3 dan berkahwin pada 26 Disember di Labuan, Sabah.

Dalam pada itu, Yazer memberitahu dia dan Ekin masih aktif dalam bidang nyanyian.

“Di Sabah kami lebih banyak menerima undangan menyanyi dan rezeki kami di sana.

“Namun, jika ada undangan di Kuala Lumpur kami akan datang ke sini. Berulang-alik tiada masalah demi kerjaya dan mencari rezeki,” ujarnya.