Pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid teruja apabila impiannya untuk digandingkan bersama aktres Erra Fazira terlaksana.

Hisyam dan Erra bergandingan dalam drama bersiri terbaru terbitan Skop Production yang berjudul Andartu Kau Bidadariku.

“Sebagai seorang pendatang baru, saya mempunyai senarai pelakon yang saya teringin mahu bekerjasama. Erra merupakan salah seorang pelakon yang berpengalaman sehingga digelar sebagai Primadona Filem Melayu.

“Pada mulanya, saya mengakui agak gementar untuk berlakon disamping Erra. Namun begitu, perasaan tersebut hilang kerana Erra merupakan seorang pelakon yang peramah, merendah diri dan bersikap profesional,” kata Hisyam kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Hisyam turut meluahkan rasa gembira apabila drama bersiri Abang Bomba I Love You yang baru sahaja selesai bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD mendapat sambutan yang sangat positif.

“Episod pertama mendapat 2.0 juta tontonan manakala saya difahamkan episod akhir drama bersiri tersebut mendapat 3.2 juta tontonan. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada penonton yang memberikan sokongan terhadap drama bersiri ini.

“Watak sebagai seorang pegawai bomba memang dekat di hati saya. Sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan, saya berkhidmat sebagai bomba di Singapore Civil Defence Force bermula tahun 2005 sehingga tahun 2013,” katanya yang ditemui di majlis perasmian sambutan ulangtahun ke-20 Astro di Bukit Jalil pada Isnin.

Selain Hisyam, majlis tersebut turut dihadiri oleh bintang Korea terkemuka, Kim Rae-Won, hos program National Geographic, Harry Yuan, selebriti terkenal tanah air seperti Aaron Aziz, Zizan Razak, Johan, Lisa Surihani, Hafiz Suip, Adira, Harith Iskander, Nabil Ahmad, Datuk Aznil Nawawi dan ramai lagi.