Kumpulan rock Khalifah tidak kisah digelar band kampung oleh para peminat muzik tanah air.

Vokalis kumpulan Khalifah, Yabang atau nama sebenarnya Awang Sulong Oyong, berkata, biarpun kumpulan Khalifah dilabel sebagai sebuah band kampung, namun mereka menganggap ia adalah satu pandangan yang baik.

"Bagi saya itu merupakan suatu gelaran yang baik sebenarnya kerana bagi kami penduduk di kampung lebih banyak daripada masyarakat di bandar.

"Sebenarnya sesiapa yang memberikan pandangan seperti itu adalah pandangan yang baik kerana dia pun berjiwa di situ dan mereka tahu permintaan tentang suasana muzik itu sendiri.

"Mungkin orang mengelarkan band kami sebagai band kampung kerana kebanyakan lagu yang dikeluarkan Khalifah berkisarkan tentang rakyat," katanya kepada Astro Gempak.

Khalifah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album kelima mereka berjudul 'Cerita Kita' yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Kumpulan yang popular menerusi lagu Hang Pi Mana dan Assalamualaikum Ustazah ini turut dianggotai tiga anggota lain iaitu Harry (gitar utama), Tony (Drum) dan Mayang (gitar bass).

Tambahnya lagi, mereka tidak pernah berkecil hati meskipun dilabel band kampung namun tetap memasang impian untuk menjadikan Khalifah sebagai sebuah kumpulan band lagenda suatu hari nanti.

Dalam pada itu, mereka bersyukur kerana kebanyakan peminat menerima genre lagu yang dibawakan oleh mereka meskipun ramai sebenarnya tidak mengenali siapa sebenarnya anggota kumpulan Khalifah ini.

"Diaorang sebenarnya lebih kenal lagu daripada kami, jadi itu sudah membuatkan kami rasa bersyukur kerana bagi kami cukuplah mereka mengenali karya kami berbanding ahli kumpulan Khalifah," jelasnya.

Bercerita mengenai album terbaru, Yabang berkata, ini merupakan hadiah kepada peminat yang menantikan album terbaharu mereka yang bertajuk 'Cerita Kita'.

Album ini memuatkan 10 buah lagu antaranya Hang Pi Mana, Panji Hitam, Shalalala, Jika,Assalamualaikum Ustazah, Kerbau Di Payung, Tiada Esok, Puteri, Satu Kalimah dan Sebutir Bintang.