Single terbaru Alvin Chong berjudul Mencintaimu telah dipilih sebagai salah satu lagu runut bunyi drama bersiri Coffee Prince yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Menerusi lagu itu, Alvin berkoloborasi dengan Sid Murshid, yang juga artis bawah naungan Universal Music.

Alvin juga teruja bergelar seorang penyanyi dan kini bernaung bawah pengurusan 360 milik Universal Music Malaysia.

kontrak yang ditandatangani bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, sebaliknya, Alvin turut memberi kepercayaan penuh terhadap Universal Music untuk menguruskan segala urusan karier seninya termasuk kontrak sebagai duta dan hal berkaitan.

Alvin, 26, berkata, dia mengambil keputusan tersebut untuk memastikan kerjayanya lebih kukuh dan mempunyai impak yang lebih besar dengan menyertai syarikat rakaman itu.

“Ya, sebelum ini saya pernah memberitahu diri sendiri yang saya tidak akan menandatangani mana-mana kontrak kerana saya mampu untuk melakukannya sendiri.

“Namun sejak akhir-akhir ini, jadual saya semakin padat dan saya mula sedar bahawa saya hanya mampu melakukanya beberapa perkara sahaja.

“Universal Music datang pada waktu yang tepat. Saya percaya dengan bernaung di bawah bumbung Universal Music, karier saya akan beranjak ke peringkat yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Universal Music Malaysia & Singapura, Kenny Ong berkata, Universal Music sudah merangka gerakan perjalanan seni Alvin termasuk menyusun projek-projek Alvin di luar bidang nyanyian seiring dengan kepercayaan yang diberikan untuk memperkembangkan karier seninya.

“Alvin diuruskan oleh pasukan ‘New Business’ dan kami mengikat kontrak dengan bakat/selebriti dan bukan hanya penyanyi. Adalah menjadi keutamaan untuk meletakkan Alvin bersama pasukan ini sejak dari awal dan kami akan merancang promosi serta pelan aktivasi beserta jenama untuk memastikan perkembangan karier selebriti yang berada di bawah bumbung Universal Music,” ujarnya.