Pelakon Syatilla Melvin mengakui rasa cemburu apabila melihat suaminya, aktor Shaheizy Sam melakonkan babak mesra dengan pelakon wanita lain.

Ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Pinjamkan Hatiku yang menggandingkan Sam bersama Ayda Jebat, filem tersebut turut menampilkan beberapa babak mesra dan romantik yang dijayakan oleh Sam bersama Ayda.

"Sebenarnya, saya langsung tidak menonton filem Pinjamkan Hatiku sebentar tadi kerana saya berada di luar panggung. Saya harus menjaga anak saya yang menangis ketika tayangan berlangsung.

"Mengulas mengenai babak mesra Sam, secara umumnya, saya akui terbit sedikit rasa cemburu. Sebagai seorang wanita, tipulah jika kita tak cemburu langsung.

"Namun begitu, saya tak mahu terlalu ikut perasaan. Sam merupakan seorang pelakon. Saya juga pelakon jadi saya memahami apa yang Sam lakukan. Saya tiada masalah dan faham keadaan Sam," kata Syatilla.

Tambah aktres drama bersiri Sha dan Shah itu, dia yakin suaminya tahu batas-batas sebagai seorang suami.

"Semuanya dilakukan secara profesional. Saya beri kebebasan kepada Sam untuk melunaskan tugas sebagai pelakon dan saya yakin dia melakukannya dengan baik.

"Pastinya Sam tahu batas sebagai seorang suami. Begitu juga dengan saya, jika saya melakonkan babak dengan pelakon lelaki lain, saya juga tahu batas dan tidak berlebih-lebih," katanya lagi.

Selain Sam dan Ayda, filem arahan Osman Ali ini turut menampilkan Farid Kamil, Lia Natalia, Norman Damanhuri, Azizah Mahzan dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan filem Pinjamkan Hatiku yang akan menemui penonton di pawagam bermula 30 November 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Syatilla Melvin