PU Musim Keempat Perkenal Segmen Bahas, Uji Kebijaksanaan Peserta

14 Oktober 2016. 11.11 AM
7,246
Salam Muslim
PU Musim Keempat Perkenal Segmen Bahas, Uji Kebijaksanaan Peserta
Program Agama Terbaik Anugerah Sri Angkasa 2016, Pencetus Ummah bakal menampilkan kelainan dari segi format rancangan bagi meningkat kualiti persembahan serta keberkesanan penyampaian para peserta untuk disajikan kepada penonton untuk musim terbaru ini.

Menampilkan tema 'Penyatuan', Pencetus Ummah musim ini buat julung-julung kalinya memperkenalkan segmen perbahasan, di mana dua peserta dengan markah terendah setiap episod bakal berdebat serta menyuarakan pandangan masing-masing.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali berkata, program yang akan bersiaran selama tujuh minggu ini akan menampilkan sedikit kelainan dari segi format rancangan bagi meningkat kualiti persembahan serta keberkesanan penyampaian para peserta untuk disajikan kepada para penonton.

"Segmen perbahasan ini bakal memperlihatkan kebijaksanaan para peserta melontarkan idea dalam berdiskusi mengenai sesuatu isu atau permasalahan yang dihadapi," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya lagi, keistemewaan Pencetus Ummah pada tahun ini, mereka tidak menetapkan had umur dalam mencari para peserta kerana ingin mencari seorang pendakwah yang hebat.

"Istimewanya tahun ini, kami tidak menetapkan had umur dalam mencari peserta kerana apa yang paling utama ialah peserta itu mampu menyampaikan tazkirah dengan menarik dan kreatif.

"Kami percaya, ia mampu mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam kalangan mereka malah kepelbagaian ini merupakan satu kekuatan pada rancangan dan ia dapat melahirkan pendakwah daripada pelbagai peringkat umur," katanya.

Musim terbaharu kali ini turut memperlihatkan personaliti radio, Fara Fauzana dan pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr.Maza) menjadi juri tetap bagi mengadili para peserta.

Bekas peserta Pencetus Ummah iaitu PU Azman Syah Alias dan Faizal Ismail pula dipertanggungjawabkan menjadi pengacara Mimbar Pencetus Ummah manakala pelakon Anis Al Idrus pula menggalas program Serambi Pencetus Ummah.

Manakala penceramah terkenal, Datuk Badli Shah Alauddin akan menggalas tugas sebagai Mudir dan Ibu Fauziah Nawi menggalas tanggungjawab selaku guru persembahan.

Kali ini, seramai sembilan peserta bakal bertanding untuk bergelar juara sekaligus memenangi wang tunai berjumlah RM100,000 dan sebuah trofi. Pemenang tempat kedua pula bakal membawa pulang RM30,000 berserta sebuah trofi.

Sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM 20,000 dan RM10,000 dan sebuah trofi setiap seorang.

Program realiti Islamik yang telah berjaya mencetus fenomenanya tersendiri di Malaysia ini akan bersiaran pada setiap Khamis bermula 27 Oktober, pukul 9 malam di Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).



Teks Oleh: Rudy


Artikel Berkaitan