Pelakon Shaheizy Sam akui ibunya Khaty Fauziah risau melihat keadaan fizikalnya yang terlalu kurus.

Menurut Sam, dia memahami perasaan ibunya namun perlu melakukan diet ketat demi tuntutan wataknya sebagai seorang sebagai pesakit kanser.

“Sebagai ibu sudah pastilah ‘Mummy’ akan berasa risau.

“Dia juga pernah beritahu rasa sedih melihat saya terlalu kurus dan cengkung namun dia memahami ‘passion’ saya sebagai seorang pelakon.

“Lagipun saya memang jenis yang akan beri sehabis baik untuk menjayakan setiap watak yang diberikan,” katanya kepada Astro Gempak.

Sam ditemui selepas majlis pra-tonton filem terbaru lakonannya, Baby Bro bertempat di GSC Gardens Mall sebentar tadi.

Mengulas mengenai fizikalnya, Sam berkata disebabkan terlalu kurus ada peminat yang menyangka dirinya menghidap penyakit serius.

“Memang saya sengaja buat diri kurus untuk nampak tidak sihat.

“Pernah ada satu ketika peminat menegur dan kata saya nampak seperti orang berpenyakit kerana wajah saya pucat.

“Sejujurnya bila ditegur begitu saya rasa gembira kerana itu satu kejayaan buat saya.

“Maksudnya persediaan saya untuk watak ‘Naufal’ dalam filem Pinjamkan Hatiku berjaya.

“Saya hilang sebanyak 8kg dalam masa satu bulan setengah, saya tahu memang agak drastik tapi itu untuk tuntutan watak.

“Sekarang badan dah kembali okay dan saya kini amalkan gaya hidup sihat,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Sam bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Baby Bro yang akan ditayangkan di Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula 30 November depan.

Teks oleh: Mya Amri