Pasangan popular, Nur Fazura dan Fattah Amin dijangka membuat satu pengumuman penting dalam satu sidang media yang akan diadakan sekembalinya mereka dari Tanah Suci.

Dalam jemputan yang dilayangkan kepada media, sidang akhbar itu akan berlangsung esok (23 November) di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 5 petang.

Sidang media itu bakal menjawab semua spekulasi yang melingkari kisah cinta pasangan ini sejak kebelakangan ini.

Terdahulu, Fattah dan Fazura, bersama keluarga masing-masing berlepas ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pada 15 November lalu.

Namun ada desas-desus menyatakan pasangan itu sudah selamat bernikah dua hari sebelum itu.

Pada Ahad, pengurus Fattah, Sakirin Shak, memuat naik sebuah video di mana ibu Fazura, Fadhillah Nasir, dirakam memberitahu doanya di Jabal Rahmah adalah agar agar jodoh anak-anak (Fazura dan Fattah) berkekalan, sekali gus menguatkan dakwaan itu.

Pasangan ini mula rapat selepas digandingkan dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella, yang disiarkan pertengahan tahun ini.

Sumber: Astro Awani