Pelakon Sarah Hildebrand akui belum bersedia untuk berkahwin meskipun sudah menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun bersama pengacara Nabil Mahir.

Sarah, 27, berkata buat masa ini, mereka mahu memberi tumpuan kepada kerjaya seni masing-masing.

"Sebenarnya niat untuk berkahwin itu ada memandangkan hubungan kami pun sudah lama tetapi buat masa ini belum ada sebarang perancangan terperinci pun.

"Rasanya kami berdua belum bersedia untuk berkahwin kerana masing-masing ingin mengejar cita-cita dalam karier terlebih dahulu.

"Tapi saya tak nafikan, takut juga berkawan lama-lama.

"Namun saya percaya dalam sesebuah hubungan kita perlu meletakkan kepercayaan seratus peratus terhadap pasangan," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Sarah kini muncul dalam filem televisyen (FTV) iaitu Wanita Terindah di Astro First Eksklusif.

Sarah memberitahu agak tertekan apabila pertama kali berlakon dengan Fattah Amin dalam filem tersebut.

"Sebenarnya saya agak tertekan sedikit apabila berlakon di dalam Wanita Terindah terutama bergandingan dengan Fattah kerana mereka semua pelakon yang hebat.

"Saya ada ada perasaan bimbang lakonan saya tidak bagus.

"Namun mereka semua sangat membantu dan menjadikan penggambaran itu jadi mudah," katanya lagi.

Selain Sarah dan Fattah, Wanita Terindah turut membariskan pelakon seperti Fauzra, Liza Othman, Adam Mika, Ridzuan Hashim dan Samantha Katie James.

Wanita Terindah ditayangkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) sejak 2 November lalu.