Penyanyi Ayu Damit mendedahkan dirinya sudah 16 kali bertukar pembantu rumah dalam masa setahun.

Dalam tempoh tersebut, empat orang pembantu rumah melarikan diri manakala selebihnya minta dihantar semula kepada ejen pembantu rumah dan ada yang melarikan diri.

"Kali terakhir saya mempunyai seorang pembantu rumah adalah pada September lalu. Paling lama bertahan adalah selama empat bulan manakala paling singkat cuma sehari sahaja.

"Saya rasa mungkin pembantu rumah tidak tahan dengan tugas mereka untuk menjaga anak-anak saya. Biasalah, kanak-kanak yang sedang membesar memang agak lasak, mungkin atas sebab itu mereka tidak tahan dan memilih untuk berhenti," kata Ayu.

Tambah Ayu, dia bersyukur kerana pembantu rumah yang pernah bekerja dengan keluarganya tidak panjang tangan dan membuat perkara yang tidak baik.

"Alhamdulillah, apa yang saya sangat syukuri, mereka tidak mencuri atau membuat sesuatu perkara yang tidak baik terhadap anak-anak saya.

"Paling teruk pun, ada yang menyelongkar bilik saya untuk untuk mengambil pasport miliknya semula. Saya menyediakan semua kelengkapan dan keselesaan tetapi masih ada yang benar-benar serasi dengan keluarga saya," katanya.

Biarpun kerap bertukar pembantu rumah, Ayu tidak serik untuk mencari pembantu rumah lain.

"Saya tidak serik mencari kerana pasti ada pembantu rumah yang akan serasi dengan keluarga saya nanti. Saya berharap agar bertemu dengan pembantu rumah berdisiplin dan mahu bekerja dengan bersungguh-sungguh. Buat masa ini, saya hantar anak-anak ke taska dahulu," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, mantan juara One in A Million musim kedua ini sudah merakamkan dua lagu baru yang berjudul Pelengkap Hati dan Cinta Pertama.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @ayudamit