Pelakon dan model kacak, Idris Khan mengakui kekasihnya yang berasal dari negara Maghribi, Sanaa Jeljalane mempunyai kriteria calon isteri yang dicari.

Kata Idris atau nama sebenarnya Muhammad Idris Abdul Ghaffar, 29, gadis yang dikenalinya sejak dua tahun lepas telah berjaya membuka matanya dan membimbingnya ke arah yang lebih baik.

"Saya pernah meletakkan target mahu berkahwin sebelum usia 30 tahun dan syukur saya dipertemukan dengan Sanaa.

"Dia sebenarnya mampu bercakap dalam tiga bahasa iaitu bahasa Arab, Perancis dan Inggeris selain perlahan-lahan cuba mendalami bahasa Melayu.

"Apabila mempunyai kelebihan berkomunikasi dalam bahasa Arab, ia banyak membantu saya untuk memahami maksud ayat suci Al-Quran dan bacaan dalam solat.

"Apabila dia mengajar saya bahasa Arab, pengetahuan dan ilmu itu banyak membantu saya untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.

"Selain itu, dia juga akan sentiasa ada bersama-sama saya ketika senang dan susah. Dia tahu segalanya tentang saya dan menerima saya seadanya," jelas Idris kepada Astro Gempak.

Idris dan Sanaa bakal mendirikan rumah tangga pada 20 Januari 2018 dan majlis perkahwinan itu akan diadakan di Kuala Lumpur bersama keluarga gadis Maghribi itu.

Sedang rancak membuat persiapan perkahwinan, pasangan itu akan mengadakan majlis yang menggabungkan budaya tradisional Melayu dan Maghribi.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @theidriskhan