Penyanyi Najwa Mahiaddin mengakui rakan duetnya, Imran Ajmain banyak membantu serta memberikan tunjuk ajar untuk dirinya menulis lirik dalam Bahasa Melayu.

Najwa dan Imran muncul menerusi sebuah lagu terbaru yang berjudul Sentiasa Merinding.

"Lagu ini kami cipta sendiri bersama Az Avex Azman. Saya memang jarang menulis lirik dalam Bahasa Melayu dan selesa menulis lirik dalam Bahasa Inggeris.

"Imran banyak mengajar saya mengenai cara penulisan dalam Bahasa Melayu. Bahasa yang digunakan sangat indah dan saya gembira kerana dapat belajar banyak perkara," kata Najwa.

Kerjasama pertama antara Najwa dan Imran ini menjadi pendorong untuk mereka berkolaborasi di masa akan datang.

"Kami sangat gembira kerana dapat bekerjasama dan menghasilkan Sentiasa Merinding. Kolaborasi ini menjadi pemangkin untuk kami menghasilkan kerjasama lain di masa akan datang.

"Insya-Allah jika ada rezeki, mungkin kami akan sama-sama mencipta lagu lagi," ujar Najwa.

Jangan lupa untuk menonton muzik video Sentiasa Merinding menerusi laman YouTube Imran Ajmain.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @najwamahiaddin