Kebanjiran lagu irama perlahan ala 1990-an membuatkan ramai artis masa kini mengikuti trend tersebut.

Tidak mengikut arus muzik tersebut, penyanyi Stacy masih yakin dengan irama pop dance dan muncul dengan buah tangan terbaru berjudul Cakap Ke Tangan.

"Saya yakin dengan lagu Cakap Ke Tangan kerana bagi saya, sesebuah irama muzik itu mempunyai kelompok peminat serta pemggemar tersendiri.

"Lagipun, nama saya memang sudah cukup sebati dan sinonim dengan irama pop dance. Oleh itu, bagi memanaskan gelanggang bersempena kemunculan saya selepas lebih setahun cuti bersalin, Cakap Ke Tangan adalah pertaruhan yang sangat sepadan dengan apa yang saya ingin bawakan," kata Stacy.

Tambah pemilik nama sebenar Ummu Syaikhah Stacy Anam ini, ikhlas dalam pekerjaan menjadi kunci untuk menarik peminat menyukai karya terbarunya.

"Bagi saya, semuanya perlu ada suntikan ikhlas dan setiap pekerjaan seharusnya diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Jika kita jujur, gembira dan puas hati dengan apa yang kita hasilkan, semuanya akan dipermudahkan.

"Saya berharap lagu Cakap Ke Tangan dapat diterima oleh peminat saya. Lagu ini menjadi pengubat rindu untuk mereka yang sudah sekian lama menanti buah tangan terbaru Stacy," katanya lagi.

Muzik video lagu Cakap Ke Tangan ciptaan Hang Nadim dan Laq ini telah dilancarkan di laman YouTube pada 13 Oktober lalu dan meraih hampir sejuta tontonan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @stacyanam