Penyanyi Najwa Mahiaddin berbesar hati kerana dapat menciptakan sebuah lagu untuk album terbaru penyanyi terkenal Anuar Zain.

“Menerusi album terbaru Anuar, saya mencipta sebuah lagu berjudul Kembali. Pada awalnya, Anuar menelefon saya dan meminta saya untuk menghasilkan sebuah lagu.

“Saya bersetuju dan rasa sangat berbesar hati kerana dapat menulis sebuah lagu untuk Anuar yang merupakan salah seorang panyanyi terkenal dan berbakat Malaysia.

“Saya bertemu dengan Anuar dan kami membincangkan mengenai lagu tersebut. Anuar memberi saya kepercayaan untuk mencipta lagu itu sendiri mengikut citarasa dan buah fikiran saya.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak menyangka yang lagu Kembali akan dimuatkan ke dalam album terbaru Anuar. Saya mengetahui perkara tersebut semasa majlis pelancaran albumnya baru-baru ini,” kata Najwa kepada Astro Gempak.

Tersenarai dalam dua kategori Anugerah Industri Muzik (AIM22) menerusi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Wanita (Guilty Room) dan Persembahan Vokal Terbaik Duo / Berkumpulan Di Dalam Lagu (After The Rain), Najwa bersyukur kerana tercalon bersama penyanyi hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat tercalon dalam dua kategori ini. Saya menyifatkan ini sebagai rezeki buat saya. Sudah tercalon bersama nama-nama besar pun membuatkan saya gembira,” katanya.

AIM22 ini bakal berlangsung pada 18 Disember 2016, di Dewan Merdeka, PWTC. Jangan lupa saksikan AIM22 secara langsung di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula jam 9.00 malam.

Teks oleh: Kamaruddin Razal