Jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei berharap agar filem yang mengangkat kisahnya dapat menjadi pencetus semangat penonton untuk meminati sukan badminton.

Filem arahan Tee Beng yang diberi judul Lee Chong Wei ini menceritakan mengenai pengalaman atlet itu mencipta nama sehingga ke peringkat dunia.

"Saya rasa sangat teruja kerana kisah saya bakal diceritakan dalam bentuk filem. Naskah ini bakal muncul pada tahun hadapan.

"Saya ingin filem ini menjadi kisah inspirasi untuk semua rakyat Malaysia. Semoga filem ini dapat mencetus semangat ramai pihak untuk mereka terlibat dengan sukan badminton," kata Chong Wei.

Tambah Chong Wei, dia juga turut terlibat dengan pemilihan pelakon yang memegang wataknya.

"Dua orang pelakon baru, Jake Eng dan Tosh Chan membawa watak saya ketika kanak-kanak dan remaja. Saya juga berpeluang untuk turut serta semasa beberapa sesi uji bakat diadakan.

"Mereka kelihatan bersungguh-sungguh dan apa yang penting, mereka boleh bermain badminton dengan baik," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, filem terbitan CB Pictures ini juga bakal ditayangkan di peringkat antarabangsa.

Teks oleh: Kamaruddin Razal