Atlet paralimpik Malaysia, Mohamad Ridzuan Puzi mengakui terharu apabila sejarah hidupnya dijadikan sebuah filem televisyen (FTV) berjudul Luar Biasa dalam Karya 12.

Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dek Wan, 30, berkata, dia terusik apabila menonton karya tersebut dan tidak menyangka apa yang dipaparkan itu mengembalikan memorinya semula sewaktu kecil dulu.

"Apa yang dikongsikan ini sangat menyentuh hati saya dan ia sedikit sebanyak dapat menceritakan kepada orang ramai mengenai kehidupan saya sewaktu kecil.

"Tak sangka kisah hidup saya dijadikan filem dan saya sendiri bersyukur kerana dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat.

"Selepas menonton filem ini baru saya sedar bahawa banyak perkara tentang abang Saiful yang saya tidak tahu.

"Apa yang digambarkan dalam filem ini banyak mengembalikan memori manis saya sewaktu masih kecil," katanya kepada Astro Gempak.

Dek Wan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana, Luar Biasa, yang diadakan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Luar Biasa dilakonkan oleh pelakon Rykal Iskandar yang memegang watak sebagai Dek Wan dan Idan Aedan sebagai Saiful.

Karya 12 vol. 2, merupakan inisiatif Astro untuk memberi peluang kepada pengarah berpengalaman dan pengarah muda berkongsi pengalaman dalam menghasilkan sebuah telemovie yang berkualiti.

Antara pengarah berpengalaman yang terlibat ialah Rashid Sibir, Nik Amir Mustapha, Mamat Khalid, Feroz Kader, Tunku Mona Riza dan Razaisyam Rashid.

Sementara itu pengarah muda yang akan diberi peluang untuk menghasilkan karya mereka ialah Muhammad Haffez Bin Mohd Amin, Ikmar Sarbin, Hadli Hairudin, Nur Syuhada Zamri, Najmie Maziez dan Vigniswara.

Sebanyak 12 telemovie akan ditayangkan setiap minggu menerusi Karya 12 vol. 2 pada pukul 9 malam.

Jangan lupa untuk menyaksikan telemovie, Luar Biasa, pada 25 November ini (Sabtu), pada pukul 9 malam di saluran Astro Citra (saluran 131).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi