Pelakon dan pelawak popular, Ajak (Shiro) akan membawa ahli keluarganya ke tanah suci Mekah, untuk menunaikan ibadah umrah pada 14 Disember depan.

Ajak berkata, selain anak-anak dan isteri dia turut akan membawa ibu dan bapa serta mentuanya bersama.

“Alhamdulillah, ada rezeki lebih...Lagipun inilah impian saya sejak sekian lama. Tiada kata-kata yang dapat saya gambarkan selain daripada rasa syukur dengan apa yang telah saya kecapi hari ini.

“Tanpa mereka (keluarga) yang sentiasa berada di belakang saya, melihat jatuh bangun saya selama ini mungkin saya pun tidak mungkin berada di sini seperti hari ini.

“Ini mungkin boleh dianggap sebagai cara saya berterima kasih, namun pengorbanan mereka tidak mungkin ada tandingan,” katanya kepada Astro Gempak.

Ajak ditemui selepas majlis tayangan Rempit Sampai Langit di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain memegang watak utama dalam filem terbitan Suhan Movies itu, Ajak turut diberi kepercayaan untuk menyanyikan OST Rempit Sampai Langit, bersama Usop Mentor.

“Mula-mula saya sendiri pun tak yakin nak menyanyikan lagu berjudul Sampai Langit itu, tapi selepas Datuk Rosyam ‘paksa’, saya cuba juga,” katanya ketawa.




Filem Rempit Sampai Langit lakonan Ajak Shiro, Nabila Huda, Reen Rahim, Christina Suzzane, Tauke Jambu dan ramai lagi ini akan berada di pawagam mulai 23 November ini.

Rempit Sampai Langit mengisahkan tentang Kudin yang membuat keputusan untuk menyertai geng mat rempit bagi memenangi kembali hati teman wanitanya, namun dia tidak diterima oleh mana-mana geng sehingga membuat dia kecewa dan patah hati.

Hidupnya berubah setelah seorang saintis Arab memberikannya sampel petrol ‘magik’ yang dapat mengubah motornya menjadi ‘motor terbang’. Fenomena kejadian Kudin dan ‘Kaduk’ terbangnya itu menjadi viral di internet dan media sosial.



Rakan karib Kudin, Comel yang selama ini memendam perasaan, nampak perubahan Kudin dan cuba membawanya kembali ke pangkal jalan. Bob, bos Comel sentiasa menasihati Comel supaya lupakan Kudin dan ingin memenangi hatinya tetapi gagal. Kudin pula semakin hanyut dalam dunia glamour.

Adakah usaha Kudin untuk menjadi ahli geng mat rempit berjaya? Dan berjayakah Comel membantu Kudin dari terus hanyut dalam dunia rempitnya?