Naib juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015), Syamel tidak kisah jika dia belum pernah memenangi sebarang trofi walaupun pernah tercalon di beberapa majlis anugerah.

Sebelum ini, Syamel pernah tercalon dalam Anugerah MeleTop Era dan Anugerah Planet Muzik tetapi dirinya gagal membawa pulang sebarang trofi.

Terbaru, penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu tersenarai dalam dua kategori Anugerah Industri Muzik 22 (AIM22) menerusi kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Pop Terbaik yang merupakan hasil ciptaannya sendiri.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur, sebagai seorang pendatang baru dalam bidang nyanyian, saya tercalon dalam dua kategori di AIM22.

"Namun begitu, saya tidak mengharapkan kemenangan. Sebagai pendatang baru, saya tidak kisah kerana saya mementingkan pengalaman dan persembahan. Dapat tercalon dalam senarai akhir pun sudah cukup membanggakan saya.

"Sebelum ini, saya pernah tercalon dalam Anugerah MeleTop Era dan Anugerah Planet Muzik tetapi saya tidak pernah lagi membawa pulang sebarang trofi.

"Tercalon dalam peringkat akhir AIM22 membuatkan saya sangat teruja. Saya menonton AIM semenjak kecil dan menjadi impian saya untuk terlibat dalam anugerah berprestij ini," kata Syamel kepada Astro Gempak.

Tidak menyangka lagu ciptaan pertamanya membawa tuah selepas dia mengakhiri sesi pembelajaran di AF2015, Syamel kini muncul dengan single kedua sebagai buah tangan terbaru untuk peminat.

"Saya tak sangka lagu Hidup Dalam Mati membawa saya sampai ke tahap ini. Semasa saya mencipta lagu ini, saya langsung tidak mengharapkan apa-apa.

"Terima kasih kepada Edry Abdul Halim selaku pengetua AF2015 kerana banyak membantu saya dalam mencipta lagu. Kini, saya muncul dengan buah tangan terbaru yang berjudul Lebih Sempurna.

"Saya berharap agar lagu kedua ini turut mendapat tempat di hati peminat. Sama ada menang atau tidak di mana-mana majlis anugerah, saya tetap tidak akan berhenti menulis lagu untuk semua peminat," katanya mengakhiri perbualan.

AIM22 ini bakal berlangsung pada 18 Disember 2016, di Dewan Merdeka, PWTC. Jangan lupa saksikan AIM22 secara langsung di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula jam 9.00 malam.

Teks oleh: Kamaruddin Razal