Pelakon Faye Kusyairi mengakui sedang belajar menghasilkan skrip untuk drama dan telemovie.

Menurut Faye, 30, dia tidak mahu dikenali sebagai pelakon sebaliknya ingin mengetengahkan bakat yang ada dalam penulisan skrip di belakang tabir.

"Saya masih belajar menghasilkan skrip untuk drama dan telemovie dahulu kerana ingin mengentengahkan bakat yang ada.

"Buat masa sekarang saya sudah ada beberapa skrip yang telah ditulis namun itu cuma untuk drama dan telemovie kerana ia lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan skrip untuk sesebuah filem.

"Suami banyak membantu dalam memberi tunjuk ajar dan semangat kepada saya memandangkan dia juga merupakan orang dalam industri.

"Saya bukan hendak berhenti berlakon kerana jika boleh saya mahu lakukan semua perkara bermula dengan penulisan skrip dan nanti mana tahu saya boleh bergelar seorang pengarah pula," katanya kepada Astro Gempak.

Faye berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Malam Gala Filem Tombiruo, di MBO The Starling, Damansara, baru-baru ini.

Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.

Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam. Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. Pergelutan di antara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.

Kepada yang belum menyaksikan filem ini, anda boleh saksikan filem Tombiruo di pawagam di seluruh negara.

Layari laman sesawang www.tombiruomovie.com serta laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube Astro Shaw dan Astro Gempak untuk berita dan informasi terkini.

Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #tombiruo, #tombiruomovie dan #penunggurimba sebagai tanda sokongan pada filem ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi