Pelawak popular, Tauke (Jambu) memberitahu tidak sangka tarikh pernikahannya dengan Abam Bocey jatuh pada bulan yang sama iaitu, Disember ini.

Bezanya, Tauke akan menamatkan zaman duda dengan tunangnya, Nadia Mohd Affendi pada 9 Disember ini, manakala Abam sehari sebelum itu.

Tauke berkata, majlis pernikahannya akan diadakan di Ambersador Hall, Putrajaya pada sebelah pagi sebelum bersanding di sebelah petang.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun di alam pertunangan saya dan Nadia ambil keputusan untuk mengakhiri ikatan tersebut hujung tahun ini.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya harap terus doakan semuanya berjalan lancar sehingga majlis selesai nanti.

“Kepada Abam, selamat pengantin baru juga,” katanya ketawa.

Bagaimanapun menurut Tauke, majlis pernikahan akan dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.



Dalam pada itu Tauke berkata, setakat ini sudah 90% persiapan dilakukan dan bersyukur apabila ada pihak yang sudi menaja majlis perkahwinannya.

“Rezeki orang nak kahwin...Terima kasih kepada penaja lokasi majlis resepsi dan perancang perkahwinan Afeer Kuala Lumpur kerana sudi menaja kami,” ujarnya.

Tauke dan Nadia bertunang di kediaman wanita itu di Terengganu pada 5 Disember 2015.
Tauke sebelum ini pernah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan enam cahaya mata.

Foto: Instagram Tauke