Pelawak Saiful Apek memanjatkan kesyukuran kerana berpeluang mendalami Islam selepas beberapa kali dijemput berceramah di surau dan masjid.

Saiful Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 47, berkata, kesempatan tersebut diambil untuk menggalakkan dirinya lebih dekat kepada Islam.

"Sejak dua bulan kebelakangan ini saya sering diundang untuk menjadi ahli panel forum agama di masjid-masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur.

“Perkara tersebut secara tidak langsung memberi saya peluang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.

"Macam-macam perkara mereka minta saya kongsikan termasuk kehidupan saya sebagai anak seni, tanggungjawab sebagai bapa dan macam-macam lagi.

"Alhamdulillah mungkin juga ada sebab saya dapat peluang itu, sedikit sebanyak saya belajar banyak tentang ilmu agama," katanya kepada Astro Gempak.

Saiful ditemui pada majlis memperkenalkan peserta program Lawak Solo yang diadakan di The Apartment, Suria KLCC, Rabu.

Saiful juga akan bertindak sebagai juri program realiti Lawak Solo yang bersiaran setiap Jumaat, bermula 21 Oktober ini, pukul 10 malam di Astro Warna (Saluran 132).


Teks oleh: Hafiza Kamarudin