Tidak tahu dari mana dan bila mulanya, bintang Akademi Fantasia 10, Nabila Razali dan pelakon filem Tentang Bulan, Aedy Ashraf dikatakan kini sedang berkawan rapat.

Mana tidaknya, tiada angin tiada ribut Nabila memuat naik gambar mesranya bersama pelakon lelaki itu di Instagram dan mengemaskini Instagram Storynya semalam hingga menimbulkan tanda tanya peminat.

Malah, Nabila, 24, lebih menimbulkan syakwasangka peminat apabila menutup ruangan komen gambar yang dimuatnaik bersama Aedy.

Pada kapsyen gambar berkenaan yang kini sudah mendapat lebih 21,000 likes pula Nabila hanya meletakkan tanda 'love'.

Baca: Nabila Razali Pernah Dua Kali Patah Hati

Lantas, peminat yang teruja dengan perkembangan kisah Nabila dan Aedy menuju ke gambar-gambar lain Nabila bertanyakan tentang kisah sebenar antara mereka.

"Nabila couple dengan Aedy Ashraf eh?" soal @geeha_najieha.

"Wow! Dengan Aedy Ashraf rupanya," komen @najwafy.

Aedy, 24, antara pelakon lelaki muda yang mendapat perhatian ramai wanita sejak akhir-akhir ini kerana pesona dan sosok badannya yang tegap.

Malah, pelakon yang digelar 'Tarzan Malaysia' itu juga menjadi bualan hangat sejak Julai lalu apabila tampil dengan imej berambut panjang.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @nabila.razali