Seramai 35 penyanyi popular bakal menyingkap kembali memori muzik era 50-an hingga tahun 2000 menerusi program terbaru, Pesta Muda Mudi.

Pesta Muda Mudi merupakan sebuah rancangan hiburan infotainment yang menampilkan lima penyanyi jemputan setiap minggu yang akan menyanyikan semula lagu-lagu popular era 50-an hingga tahun 2000.

Menariknya, program berduarasi satu jam ini turut membawakan khas seniman dan seniwati tanah air seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab, Datuk Rosnani Jamil dan Yusnor Ef berkongsi pengalaman serta perjalanan seni di zaman kegemilangan masing-masing.

Selain itu vokalis kumpulan AKA The Times Natazar atau Naza turut diundang untuk berkongsi minatnya terhadap muzik dan lagu-lagu lama.

Bekas editor berita hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil tidak ketinggalan berkongsi pengalaman berharganya ketika berkesempatan menemuramah penyanyi-penyanyi veteran tanah air.

Program tujuh episod yang dihoskan oleh Elly Arifin ini menampilkan penyanyi popular seperti Khai Bahar, Ning Baizura, Azlan Typewriter, Monoloque, Azharina, Liza Hanim, Ayai Illusi, Aisyah Aziz, Sufi Rashid, Firman Bansir, Ernie Zakri, Indah Ruhaila dan ramai lagi.

Malam ini, episod pertama Pesta Muda Mudi menampilkan Liza Hanim, Ameng Spring, Ayai Ilusi, Leo Nastia dan Aisyah Aziz serta beberapa seniman dan seniwati yang turut berkongsi kisah pengalaman mereka sepanjang bergelar anak seni.

Saksikan Pesta Muda Mudi bermula 8 November, setiap Rabu jam 11 malam di saluran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).