Isteri kepada penyanyi Tomok, Ayu Abas mendedahkan dua orang anaknya, Arrian dan Andra mempunyai persamaan tetapi berbeza sikap.

Ayu berkata anak keduanya, Andrashah Iman, 2, lebih gemar memerhati daripada memberi perhatian terhadap sesuatu, berbeza dengan abangnya, Arrianshah Akid, 5.


“Sebagai contoh, Andra tidak suka kita ajar dia terutama dalam bidang akademik. Andra lebih suka memerhati dan dia lebih berdikari.

“Arrian pula, akan ikut sahaja yang saya ajar dan memberi reaksi positif tapi Andra pula nampak seperti tidak fokus dan cepat bosan jika saya suruh dia melihat buku.

“Tapi...saya terkejut apabila bila kita buat ‘ulangkaji’ Andra semuanya tahu semua benda yang kita tunjuk pada dia sebelum ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Kedua-dua anak Tomok itu muncul dalam sebuah program khas, Rockstar Junior: Arrian & Andra yang bersiaran setiap hari Rabu, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Pun begitu, Ayu memberitahu kedua-dua anaknya menunjukkan minat dalam bidang muzik.

"Arrian memang dari kecil suka menyanyi dan muzik, lebih-lebih lagi didorang bapanya yang suka bermain alat muzik di rumah.

"Saya perasan Andra juga turut meminati muzik, itu satu persamaan yang saya sedar," katanya lagi.

Rockstar Junior turut memaparkan Tomok dan Ayu berkongsi tip ke ibu bapaan yang diamalkan oleh mereka berdua dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada Arrian dan Andra.