Penyanyi Stacy Anam mengakui tidak boleh menyanyi selepas melahirkan anak sulungnya pada Februari lalu.

“Terus terang saya katakan, lepas bersalin saya rasa agak ‘down’ sedikit. Saya rasa macam hilang semuanya.

“Saya tak boleh menyanyi. Suara saya tak sama seperti sebelum berehat dan kadangkala apabila menyanyi, suara saya kedengaran seperti lelaki.

“Hampir setahun lebih saya bercuti. Pada awalnya, saya ingatkan segalanya akan sama seperti biasa. Tak terfikir pula apabila saya berhenti menyanyi, kebolehan itu akan hilang.

“Saya ingatkan ‘kehilangan’ itu merupakan satu kesan selepas bersalin. Saya mencuba pelbagai alternatif sendiri untuk mendapatkan kembali suara saya. Saya pergi ke kelas vokal dan saya menghadiri kelas tarian.

“Hampir tujuh bulan saya mencuba untuk kembali mendapatkan suara saya sehingga suami saya membelikan set karaoke di rumah agar saya kembali boleh menyanyi. Tapi semua usaha gagal,” kata Stacy.

Tidak tak berputus asa, Stacy menganggap kejayaan tidak boleh digapai jika dirinya berhenti mencuba.

“Akhirnya, saya mengambil inisiatif untuk bersenam di gimnasium bagi mengembalikan stamina. Selepas dua minggu ke gimnasium, saya kembali dapat rentak dan menjumpai semula suara saya. Alhamdulillah.

“Saya teruskan latihan bagi mencapau matlamat saya. Suami serta penari-penari banyak membantu memberikan dorongan. Sehingga kini, saya masih lagi ke gimnasium serta kelas tarian untuk memantapkan lagi stamina serta kebolehan menyanyi seperti dahulu,” katanya yang ditemui ketika majlis Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) baru-baru ini.

Malam kemuncak ASK 2017 menjadi persembahan berskala besar pertama yang dilakukan oleh Stacy selepas bersalin.

Wanita yang berasal dari Sabah itu menyampaikan single terbarunya yang berjudul Cakap ke Tangan.

Stacy mendirikan perkahwinan dengan penyanyi Akim Ahmad pada 5 Februari 2016, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Eshaal pada 17 Februari lalu.

Pasangan itu turut mempunyai seorang anak angkat bernama Bella yang berusia lima tahun.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Foto: Instagram @stacyanam