Aktres baru yang sedang mencipta nama, Farah Nabilah mengakui ada peminat yang mahu dia bercinta dengan aktor Zul Ariffin.

Semuanya gara-gara watak Aisy dan Harris yang dibawa mereka dalam drama bersiri Titian Cinta di TV3.

Biarpun telah tamat tayangannya pada 30 Oktober lalu, peminat masih belum ‘move on’ dan masih memperkatakan mengenai drama itu.

“Saya akui ramai yang mahu lihat kemesraan saya dan Zul di luar skrin. Ramai peminat yang mahu saya dan Zul bercinta di luar set penggambaran.

“Saya faham dengan situasi peminat yang mahu menjodohkan kami. Bagi saya, itu memberi makna yang gandingan kami menimbulkan keserasian dan menjadi.

“Hakikatnya, saya dan Zul hanyalah gandingan dalam drama. Di luar set penggambaran, kami tiada hubungan istimewa. Masing-masing mempunyai kehidupan sendiri,” kata Farah yang ditemui ketika Anugerah Skrin 2017 baru-baru ini.

Tambah Farah yang pernah membintangi drama bersiri Papa Ricky, dia tidak menjangkakan drama bersiri lakonannya bersama Zul mendapat perhatian ramai pihak.

“Saya tak sangka Titian Cinta menjadi sebutan ramai peminat. Saya hanya memberikan yang terbaik ketika menjalani penggambaran drama tersebut.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sambutan yang sangat memberangsangkan dan berterima kasih kerana drama ini memperkenalkan nama saya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Farah bakal membintangi drama bersiri Adam & Hawa 2 yang bakal menggandingkan dirinya bersama Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @farahnabilahofficial