Pemain bes Search, Nasir Daud, 57, mengakui kemelut yang melanda kumpulan itu tidak sesekali menggangu proses rakaman album terbaharu mereka iaitu Katharsis.

Menurut Nasir, Search harus fokus dalam menyiapkan album terbaharu ini dan tidak mahu memikirkan mengenai masalah yang sedang melanda mereka.

"Setiap orang pasti ada masalah sendiri jadi kami tidak mahu memandang masalah itu sebagai halangan untuk tidak terus berkarya menyiapkan album Katharsis.

"Kami harus 'move on' dan memberi tumpuan kepada perkara lebih baik serta melupakan mengenai hal yang lalu.

"Apa yang terjadi itu biarlah ia berlaku dan kami akan cuba selesaikan satu persatu sehingga selesai.

"Alhamdulillah, proses rakaman Katharsis berjalan dengan lancar meskipun ia mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan," katanya kepada Astro Gempak.

Nasir berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharu Search berjudul Katharsis, di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, pada Khamis.

Dalam pada itu, Search juga tidak menafikan Katharsis mungkin merupakan album terakhir daripada mereka kerana tidak tahu bila lagi mereka akan merakamkan album selepas ini.

"Album ini pun menunggu 11 tahun untuk dihasilkan dan saya sendiri tiada jawapan bila album seterusnya akan dibuat.

"Mungkin ini adalah buah tangan terakhir daripada Search," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi