Pelakon dan pengarah prolifik, Erma Fatima mengumumkan bakal berhenti daripada bertanding untuk Anugerah Skrin (ASK) pada tahun-tahun akan datang.

Alasan Erma yang telah lima kali memenangi kategori Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik pada ASK, dia mahu memberikan ruang dan peluang kepada pengarah muda lain diiktiraf di pentas yang sama.

"Cukuplah saya bertanding untuk ASK, saya mahu beri peluang pula kepada pengarah-pengarah baru menonjolkan bakat dan kebolehan mereka.

"Saya tidak akan menghantar pencalonan peribadi saya (pengarahan), namun jika karya itu dipertandingkan untuk pelakon dalam drama itu saya tiada masalah.

"Namun, ini tidak bermakna saya terus berhenti daripada berkarya dan menghasilkan drama selepas ini, cuma saya berhenti bertanding untuk ASK sahaja," jelasnya kepada Astro Gempak.

Erma, 49, sekali lagi memenangi trofi Pengarah Terbaik (Drama) dan Lakon TV Terbaik menerusi drama Pesan Dari Tuhan pada ASK 2017 yang berlangsung 3 November lalu.



Drama itu juga diangkat sebagai Drama Terbaik pada anugerah tersebut.

Drama Pesan Dari Tuhan telah menjalani penggambaran beberapa tahun lalu namun akhirnya ditayangkan di TV2 pada 26 Jun 2017.

Pesan Dari Tuhan membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Ellie Suriaty, Azhan Rani, Remy Ishak dan Izreen Azminda.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @ammannasim, @tonton