Umum mengetahui pasangan pelakon Diana Danielle dan Farid Kamil meraikan ulangtahun perkahwinan mereka pada 3 November lalu.

Malah, Diana sendiri ada memuat naik sekeping gambar 'throwback' majlis pernikahan mereka sekitar lima tahun lalu yang berlangsung sederhana di Ampang, Kuala Lumpur.

BACA: 'Anniversary' Ke-5 Perkahwinan, Peminat Doakan Diana Danielle & Farid Kamil Bahagia

"5 tahun berkahwin dan 10 tahun bersama-sama dengan awak (Farid Kamil), keseronokan baru sahaja bermula. Sekarang kita berempat mengharungi kehidupan.

"Mari katakan realiti kehidupan sekarang lebih baik daripada yang kita bayangkan ketika mula-mula bersama dahulu,"
tulisnya di Instagram.



Kesempatan bertemu Diana, 25, ketika Anugerah Skrin 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Astro Gempak bertanyakan apakah hadiah istimewa sempena ulangtahun perkahwinan kelima Diana dan Farid?

"Saya terjumpa sekeping gambar yang agak manis dan tertarik untuk berkongsi di Instagram.

"Seperti saya katakan alam perkahwinan lima tahun masih baru dan keseronokan baru sahaja bermula. Kalau dahulu sesuatu perkara dilihat rumit tapi sekarang semuanya mudah.

"Apa yang penting kami saling mencintai!

"Saya bukan seorang yang romantik, tak ada pun candle light dinner antara kami berdua namun kami meraikan ulangtahun perkahwinan dan kejayaan saya dengan santapan kerabu kaki ayam," ujarnya sambil tertawa.

Diana memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi karakternya dalam naskhah Hanyut.

Filem itu turut dinobatkan sebagai filem terbaik pada malam anugerah tersebut.

Diana dan Farid berkahwin pada 3 November 2012 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @dianadaniellb @rmzairi