Pelakon Putri Najuwa mengakui dia bertuah apabila mempunyai seorang suami yang memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Putri Najuwa atau nama sebenarnya Tengku Putri Najuwa Tengku Yusof, 32, berkata, suaminya, Muhammad Zaid Samsuri tidak meletakkan sebarang syarat untuk dia aktif dalam bidang seni.

"Saya beruntung kerana suami memang tidak pernah halang saya terus berlakon dan tidak letak sebarang syarat selepas berkahwin.

"Namun, sebagai seorang isteri saya kena tahu batas-batas mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

"Apa yang penting saya harus membahagikan masa dengan adil diantara suami dan kerjaya," katanya kepada Astro Gempak.

Putri Najuwa dan pasangannya Muhammad Zaid Samsuri diijabkabulkan tanggal 23 September lalu.

Putri Najuwa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dubai My Love, di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Dubai My Love di seluruh pawagam bermula 26 Oktober.

Selain Putri Najuwa, Dubai My Love turut dibintangi oleh Erwin Dawson dan Hanna Aqeela.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi