Tampil dengan album Semalam di Malaya, penyanyi Ushera akui tidak mudah untuk menyanyikan lagu klasik Melayu.

“Bukan mudah untuk menyanyikan lagu genre seperti ini dan saya akui banyak kajian saya perlu lakukan terutamanya dari segi lenggok.

"Lenggok lagu lama dengan yang terkini tidak sama, memang sangat susah untuk dinyanyikan, sekali silap bunyinya terus jadi lain.

“Saya mengkaji bagaimana perilaku wanita pada zaman tersebut dan cuba membawa ciri-ciri itu dalam lagu saya.

“Saya tidak mahu hanya sekadar menyanyi, saya lebih suka sekiranya ada ‘perasaan’ dalam setiap lagu yang saya ingin sampaikan.

“Lagu-lagu klasik Melayu bila didengar, nampak senang untuk dinyanyikan tetapi ianya bukanlah mudah seperti yang disangka,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran album Ushera, Semalam di Malaya.

Tambah Ushera lagi album tersebut diinspirasikan daripada muzik kontemporari Malaysia selain permintaan peminatnya ketika melakukan persembahan di majlis-majlis tertentu.

“Saya percaya masih ramai orang menyukai genre sebegini buktinya ketika saya melakukan ‘live show’, ramai peminat mahu mendengar saya menyanyikan lagu Melayu.

“Jadi melalui sambutan mereka itulah terhasilnya idea untuk menghasilkan album ini.

“Kesemua lagu dalam album ini dinyanyikan semula oleh saya tanpa mengubah mengubah susunan muziknya.

“Ya, saya tak nafikan memang sukar waktu proses rakaman tapi saya suka kerana lagu-lagu sebegini sudah sebati dengan diri saya,” ujarnya.

Album Semalam di Malaya mengandungi 11 buah lagu-lagu klasik antarannya Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, Polynesia Mambo dan Chuchi Kain Chuchi Mata yang kesemuanya dinyanyikan mengikut gaya asal.

Semalam di Malaya kini boleh didapati iTunes , Spotify dan saluran streaming music utama.

Terdahulu, Ushera pernah tampil dengan single terbaru ciptaannya sendiri berjudul Give Me.

Teks Oleh: Mya Amri