Beberapa minggu lalu, Astro Gempak ada berkongsi mengenai kisah kucing peliharaan milik pasangan selebriti Hanis Zalikha dan Hairul Azreen, Bujibu Chempel.

Akaun Instagram milik Bujibu berjaya mencatat sejarah tersendiri dengan mengumpul pengikut seramai satu juta pengguna.

Namun, disebalik populariti yang diraih oleh Bujibu mungkin ramai juga tidak mengetahui bahawa ada beberapa selebriti popular lain yang turut memelihara kucing.

Meskipun kucing-kucing yang dipelihara oleh selebriti ini tidak popular seperti Bujibu namun haiwan peliharaan tersebut mempunyai peminat tersendiri yang sentiasa mengikuti perkembangan mereka.

Zara Zya

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Zara Zya juga mempunyai seekor kucing yang bernama Beshetik. Kucing yang dipelihara oleh Zara ini dilihat begitu comel dan manja dengannya hingga membuatkan peminat geram apabila melihatnya.

Beshetik juga mempunyai akaun Instagram sendiri dan kini telah memiliki seramai 20,600 pengikut dan sebanyak 137 posting yang menceritakan mengenai perjalanan kucing itu semenjak dipelihara oleh Zara.

Rita Rudaini

Rita Rudaini juga mempunyai seekor kucing yang bernama Dahlia. Menerusi akaun Instagram miliknya, Rita sering berkongsi gelagat Dahlia ketika berada di dalam rumah dengan menggunakan #dahliathebabycat.

Ternyata gambar yang dikongsikan oleh Rita mendapat perhatian peminatnya. Pengikut Instagram Rita mengakui terhibur dengan gelagat yang ditonjolkan oleh Dahlia.

Faiz Dickie

Kucing peliharaan personaliti media sosial, Faiz Dickie juga sering menjadi perhatian pengikutnya di Instagram apabila seringkali berkongsi gelagat tiga ekor kucing peliharaannya.

Faiz menamakan tiga ekor kucingnya itu dengan nama Robin, Hood dan Arrow. Lebih istimewanya salah seekor peliharaan Faiz mempunyai tiga kaki dan berbeza berbanding kucing-kucing yang lain.

Kepada semua peminat kucing, jangan lupa untuk menyaksikan program terbaharu, The KuCin Show, mulai 9 November ini, setiap Khamis, pada pukul 9 malam, di Astro Ria (Saluran 104) dan Ria HD (Saluran 123).

The KuCin Show akan menampilkan kisah-kisah menarik dan gelagat kucing peliharaan selebriti yang mungkin ramai tidak mengetahui mengenainya.

Disamping itu, pengemar kucing juga boleh mendapatkan pelbagai tips-tips menarik mengenai bagaimana cara memelihara haiwan tersebut dengan betul.

Teks oleh: Rozaimi Zubaidi