Pelakon dan pengacara Neelofa mengakui dirinya ‘berperang’ dengan 'jet lag' ketika menjalani penggambaran drama bersiri Red Velvet.

“Ketika penggambaran Red Velvet dijalankan, saya banyak berulang alik ke luar negara untuk melunaskan kerja.

“Antaranya, saya ke Los Angeles, New York, Milan, Boston dan juga Paris. Semuanya memerlukan masa perjalanan yang lama.

“Kadang-kadang, sampainya sahaja saya di Malaysia, saya cuma berehat selama satu hari sahaja di rumah sebelum kembali ke set penggambaran. Saya akui saya berusaha sedaya upaya mengatasi ‘jet lag’.

“Penat memang penat, tetapi tak adil untuk saya melayan penat kerana ramai lagi pelakon dan krew yang menanti untuk melunaskan baki penggambaran.

“Biarpun kadang-kadang saya rasa pening kepala, saya teruskan demi komitmen dan menganggap perkara tersebut sebagai cabaran,” kata Neelofa.

Memberikan kerjasama terbaik, Neelofa bersyukur dapat bekerja dengan pelakon dan tenaga produksi yang sangat memahami.

“Mereka sangat profesional dan memberikan kerjasama terbaik. Saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan mereka.

“Komitmen yang padat tidak menjadi penghalang untuk saya memberikan hasil maksimum dalam setiap kerja yang saya lakukan. Semuanya untuk peminat yang selama ini tidak henti menyokong kerjaya saya,” katanya lagi.

Sama-sama kita saksikan drama bersiri Red Velvet yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial, jangan lupa sertakan hashtag #RedVelvetDrama #RedVelvet.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @neelofa